" Sebaik-baik saat dalam hidupmu, ialah ketika kamu menyedari kekurangan diri dan kembali kepada kerendahan dirimu"

Wednesday, 22 February 2012

Sukan itu Ibadah

Seorang muslim pasti ingin meraih keredhaan Allah dan syurga serta selamat dari kemurkaanNya dalam neraka. Oleh kerana itu setiap perkara yang dilakukan haruslah selari dengan kehendak syariat dan aturan yang telah di gariskan oleh Al-Quran dan Sunnah. Pastinya setiap perkara yang di lakukan bermula dengan niat yang baik agar ianya membuahkan pahala ibadah kita kepadaNya. Insya Allah!
Sukan adalah kegiatan yang dianjurkan dalam Islam untuk meningkatkan kualiti jasmani yang Allah berikan kepada kita. Kegiatan ini dilakukan oleh sesiapa sahaja baik orang dewasa mahupun anak kecil, lelaki mahupun perempuan. Di antara mereka ada yang berprestasi bagus, namun ada pula yang buruk. Di dalam tubuh manusia kita terdapat dua unsur, iaitu jasmani dan rohani yang saling berkait antara satu sama lain. Rohani tanpa dukungan jasmani yang kuat tentu akan mengganggu kita untuk beribadah kepada Allah, begitupun sebaliknya. 


Namun, demi mendapatkan kualiti jasmani yang kuat dan sihat,sukan adalah kegiatan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Sukan sebagai ikhtiar kita untuk menuju jasmani yang sihat mengikut landasan syariat yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah. Allah SWT mencintai orang mukmin yang kuat daripada orang mukmin yang lemah bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, “ Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (H.R.Muslim)

Apakah tujuan bersukan dalam Islam sebenarnya? Syaikh Abu Bakar Al-Jazairi berkata, “ Tujuan sukan berkuda yang dikenali di permulaan Islam adalah demi menegakkan dan membela kebenaran. Ianya bukan sama sekali untuk mendapatkan harta dan populariti diri seperti mana sesetengah atlit sekarang ini.”

Tujuan bersukan adalah untuk meningkatkan ketakwaan dan untuk berjihad di jalan Allah SWT. Maka atas dasar inilah pengertian sukan ini difahami dalam Islam. Sesiapa sahaja yang memahami pengertian sukan selain daripada pemahaman ini, bererti telah melakukan sukan untuk tujuan yang buruk dan tiada manfaat bahkan boleh menjerumuskan diri ke dalam perjudian yang haram di sisi Islam. Asal pensyariatan sukan adalah firman Allah SWT, “ Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi...” (Al-Anfal: 60)

Bagaimana dikatakan sukan itu adalah ibadah? Jika kita memulakan setiap aktiviti-aktiviti di dalam hidup kita, haruslah bermula dengan niat yang baik. Jika kita berniat untuk bersukan kerana ingin mendapatkan  jasmani yang kuat dan sihat semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT, segala aktiviti yang dilakukan itu akan mendapat pahala ibadah.

 Tentang makna ibadah, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata, “ Makna ibadah sangat luas. Ia adalah nama bagi segala hal yang dicintai dan diredhai Allah, baik berupa ucapan mahupun perbuatan, yang zahir mahupun batin.”  Syaikhul Islam juga berkata, “ Ibadah adalah ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan perintah Allah yang disampaikan melalui lisan para rasul.”

Ibnu Qayyim rahimahullah berkata, “Penjelasannya adalah ibadah itu terbahagi kepada hati dan lisan. Hukum-hukum beribadah ada lima: wajib, sunat, makruh, mubah, dan haram, masing-masingnya berlaku pada hati, lisan, dan anggota badan.”

 Adalah merupakan suatu kesalahan jika sebahagian kita menyangka bersukan tidak ada kaitannya dengan din (ibadah). Ibadah bukanlah hanya terbatas kepada solat, puasa, zakat, dan haji sahaja, malah ianya merangkumi ruang lingkup kehidupan kita sebagai muslim.
Justeru itu, sebelum bersukan, marilah sama-sama kita perbetulkan niat yang baik agar kita semua dapat meraih keredhaanNya. Ayuh! (^_^)

No comments:

Post a Comment